Pemain Ecuador digantung 8 tahun kerana baling batu ke arah pengadil
Persekutuan Bola Sepak Ecuador (FEF) telah mengenakan penggantungan lapan tahun ke atas pemain John Michel Peraza Salas selepas dia membaling batu ke muka pengadil semasa perlawanan dalam Ascenso Nacional divisyen ketiga Ecuador.

Penggantungan itu akan kekal berkuat kuasa sehingga 19 Oktober 2034.
Menurut kenyataan daripada FEF, serangan itu menyebabkan pegawai tersebut cedera parah dan memerlukan pembedahan.
Insiden itu berlaku pada 17 Oktober semasa perlawanan antara Ciudad de Yantzaza dan Río Aguarico, perlawanan pusingan ketiga dalam Kumpulan D Ascenso Nacional 2026.
Pada minit ke-96, Peraza membaling batu dari bangku pemain simpanan, mengenai muka penolong pengadil Lenin Giovanni Ojeda Núñez dan memaksa perlawanan dihentikan.
Jawatankuasa Tatatertib persekutuan mendapati pemain itu bertanggungjawab atas serangan fizikal dan menggantungnya daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Selain itu, FEF akan meminta FIFA melanjutkan penggantungan itu ke seluruh dunia.
Ciudad de Yantzaza turut dikenakan hukuman atas kelakuan pemain mereka dan kerana gagal memenuhi kewajipan keselamatan sebagai pasukan tuan rumah.
Kelab itu didenda $2,000 dan diarah membayar balik $4,369 perbelanjaan perubatan. Mereka juga akan menjalani larangan bermain di stadium sendiri selama tiga perlawanan di Estadio Municipal de Yantzaza di wilayah Amazon Zamora-Chinchipe.