Irfan Bakti Anggap Kemenangan Sabah Paling Bermakna
Jurulatih Kelantan Red Warrior FC, Irfan Bakti Abu Salim, menyifatkan kejayaan menundukkan Sabah FC sebagai detik paling berharga buat pasukannya. Menurut laporan MakanBola, beliau menegaskan ini merupakan tiga mata pertama Kelantan RW dalam saingan Liga Super musim ini, sekali gus menjadi ganjaran atas kesungguhan para pemain yang tidak pernah berputus asa di atas padang.

Beliau turut membandingkan pencapaian jaringan pasukan kini iaitu lapan gol, melebihi Terengganu dan Pulau Pinang, walaupun sebelum ini dibolosi banyak seperti 9-0 dan 6-0. "Satu mata yang begitu bernilai sekali menang dengan Sabah... malam ini persembahan pemain-pemain begitu memberansangkanlah yang mana mereka telah berikan segala-galanya," katanya.
Irfan menambah bahawa kemenangan ini menyuntik semangat untuk mendapatkan dana bagi menyelesaikan sekatan perpindahan yang dihadapi. "Jadi kalau dah tiga mata itu kira satu keputusan yang memberansangkanlah untuk mendapatkan dana nak selesaikan benda itu (sekatan perpindahan) sebab kita kena selesaikan semua," ujarnya, sambil menyatakan pengurusan menjanjikan penyelesaian dalam masa terdekat.
Dalam perlawanan itu, Kelantan RW bangkit selepas ketinggalan menerusi jaringan Jose Angel untuk Sabah, namun dua gol daripada Rizuan Muda dan Emmanuel Mbarga memastikan kemenangan 2-1 buat pasukan Pantai Timur.